Musa Aman bebas, kemungkinan luar jangka dalam masa terdekat kata Bung Moktar
08:06 Jun 10, 2020  |  By SabahKini2
Musa Aman bebas, kemungkinan luar jangka dalam masa terdekat kata Bung Moktar

Semakin panas! Apakah perkara luar jangka itu? Apa yang Bung Moktar maksudkan?

Umno Sabah menjangkakan senario politik negeri itu akan berubah selepas bekas ketua menteri Sabah, Musa Aman dibebaskan daripada 46 pertuduhan di mahkamah semalam.

Pengerusi Umno Sabah, Bung Moktar Radin, berkata selaras dengan itu juga beberapa kemungkinan di luar jangka akan berlaku dalam masa terdekat ini.

"Pertama Umno Sabah mengalu-alukan kemenangan Musa Aman di mahkamah semalam.

"Kedua terlalu awal untuk membicarakan tentang penglibatan beliau secara aktif dalam Umno Sabah dan saya akan cuba bertemu dengan beliau bagi tujuan perbincangan secara mendalam.

"Ketiga, melihat landskap politik semasa di Sabah, mungkin ada kemungkinan-kemungkinan yang akan berlaku," katanya

Menurut Bung Moktar macam-macam boleh berlaku landskap politik di Sabah.

"Berbagai kemungkinan yang sukar diramal boleh berlaku," katanya.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan Musa daripada 46 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dengan konsesi balak di negeri itu, selepas  pihak pendakwaan memohon untuk menggugurkan semua pertuduhan.

Sementara itu Jabatan Peguam Negara memberi penjelasan untuk tidak meneruskan pendakwaan rasuah dan pengubahan wang haram ke atas bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman selepas menerima afidavit daripada bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, yang menyokong supaya tuduhan dibatalkan.

Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, berkata melalui afidavit diterima pihaknya pada 5 Jun lalu, Abdul Gani mempertahankan keputusan Jabatan Peguam Negara pada tahun 2012, untuk tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap Musa.

[ARTIKEL BERKAITAN- Afidavit Gani Patail, SPRM, pengesahan ICAC punca Peguam Negara tarik kes Musa ]

Idrus berkata, dalam afidavit itu yang difailkan Musa bagi membatalkan tuduhan terhadapnya, menyatakan bahawa Abdul Gani membuat keputusan itu berikutan siasatan mendapati wang yang terbabit adalah sumbangan politik

Beliau berkata, Abdul Gani menyatakan keputusan itu dibuat secara kolektif oleh individu peringkat atasan, iaitu bekas Ketua Bahagian Pendakwaan, Datuk Seri Tun Abdul Majid Tun Hamzah; bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohammad dan bekas Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Mustafar Ali.

"Selepas kertas siasatan dikaji dan diteliti daripada sudut perundangan, bekas Peguam Negara menggunakan budi bicara beliau dan memutuskan untuk tidak mengambil apa-apa tindakan pendakwaan.

 

 

6 Comments