Kerajaan terus komited bantu usahawan di Sabah- Musa
03:12 Dec 18, 2017  |  By SabahKini2
Kerajaan terus komited bantu usahawan di Sabah- Musa

Musa turut menyampaikan anugerah usahawan cemerlang kepada 23 penerima dari setiap kawasan Parlimen di Sabah dan menyerahkan replika cek bernilai RM5.41 juta kepada wakil 207 usahawan Sabah yang menerima kemudahan pembiayaan Tekun Nasional.

Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman ketika berucap dalam majlis perasmian Karnival Tekun peringkat negeri di Kota Kinabalu berkata, kerajaan komited untuk terus membangunkan usahawan Bumiputera supaya lebih berdaya saing.

Bagaimanapun, katanya, usahawan perlu mengubah sikap ke arah lebih positif dan dinamik selain berminat menambah ilmu dalam pelbagai aspek pengurusan perniagaan.

“Kita tidak mahu usahawan Bumiputera tercicir dalam persaingan terutama dalam industri kritikal yang telah dikenal pasti selain terus bersiap sedia menghadapi pelbagai cabaran mendatang dalam usaha membentuk ekonomi Maju,” katanya.

Di Peringkat Negeri Sabah, Kerajaan Negeri sentiasa memberi bantuan, sokongan dan galakan kepada para peniaga dan usahawan seterusnya memberi ruang dan peluang termasuklah golongan wanita dan belia menceburkan diri serta bergiat aktif dalam bidang keusahawanan.

“Buktinya menerusi Yayasan Usaha Maju (YUM) Kerajaan negeri memperuntukan sebanyak RM10 juta peruntukan Khas Tambahan kepada yayasan dan terbukti Berjaya membantu ramai peniaga seterusnya mengembangkan lagi perniagaan mereka”. Katanya

Majlis disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman dianjurkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas tani  itu turut dihadiri oleh Timbalan Menterinya Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Yahya Hussin yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah.

Karnival dua hari bermula hari ini itu diadakan bagi mempromosikan dan memasarkan produk serta perkhidmatan para usahawan Tekun Nasional selain platform meluaskan aktiviti rangkaian dan jaringan perniagaan para usahawan terlibat.

Kira-kira 5,000 pengunjung dijangka menghadiri karnival itu yang diadakan di Padang Merdeka, dekat sini.

Pada majlis itu, Musa turut menyampaikan anugerah usahawan cemerlang kepada 23 penerima dari setiap kawasan Parlimen di Sabah dan menyerahkan replika cek bernilai RM5.41 juta kepada wakil 207 usahawan Sabah yang menerima kemudahan pembiayaan Tekun Nasional.

Sementara itu Tajuddin berkata Tekun Nasional telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM4.9 bilion kepada hampir 400,000 usahawan di seluruh negara sejak agensi itu ditubuhkan.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM425.4 juta disalurkan kepada 41,062 usahawan di Sabah, katanya.

Tajuddin berkata rekod pembayaran balik pinjaman Tekun Nasional secara keseluruhannya memuaskan, dan Sabah adalah negeri yang mencatat rekod terbaik apabila hampir 100 peratus usahawan membayar balik pinjaman berkenaan.

Tajudin juga mencadangkan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional meningkatkan pinjaman maksimum sehingga RM500,000 bagi membantu lebih ramai usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) memasarkan produk ke peringkat global sekali gus mengembangkan potensi perniagaan di luar negara

 

1 Comment