Parti Harapan Rakyat Sabah dibubar, 64,000 ahli sertai Bersatu
21:04 Apr 05, 2019  |  By SabahKini2
Parti Harapan Rakyat Sabah dibubar, 64,000 ahli sertai Bersatu

36,744 borang permohonan akan diagihkan pada majlis pelancaran Bersatu bakinya akan didaftarkan kemudian.

KOTA KINABALU: Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah, Lajim Ukin mengumumkan pembubaran parti itu untuk membolehkan 64,000 ahlinya menyertai PPBM.

Katanya, sebanyak 36,744 borang permohonan akan diagihkan pada majlis pelancaran PPBM Sabah esok.

“Kami mahu mendaftarkan semua ahli kami, tetapi masa terlalu pendek untuk mendaftarkan mereka semua.

“Bagaimanapun, saya yakin kami dapat mendaftarkan mereka semua sebagai ahli PPBM tidak lama lagi.”

Harapan Rakyat didaftarkan pada 25 Oktober 2016. Ia adalah parti komponen Gabungan Sabah ketika itu dan bertanding 16 kerusi Parlimen serta 25 kerusi Dewan Undangan Negeri pada pilihan raya umum ke-14 lalu, tetapi gagal memenangi sebarang kerusi.

Meskipun hanya mampu bertahan selama tiga tahun, Lajim berbangga dengan komitmen dan kerjasama padu ahli dan penyokong parti itu yang turut menjadi penyumbang kepada kejatuhan Barisan Nasional dan Umno dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.

 

Lajim berkata penyerahan borang keahlian untuk menyertai Bersatu akan diserahkan kepada Perdana Menteri merangkap Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamed sempena pelancaran parti itu di Sabah 6 April.

“Saya rasa tidak ada masalah kerana kita janji dengan Tun bahawa kemasukan kita ini adalah untuk penyatuan di kalangan pemimpin-pemimpin bumiputera khususnya di Sabah, jadi saya percaya ini satu platform yang dapat menghindarkan daripada perbalahan sesama kita.

“Jadi ini satu langkah cukup baik diambil oleh Bersatu kerana akhirnya memasuki Sabah dan menjadi landasan kepada rakyat Sabah terutama pemimpin parti lain untuk sertai Bersatu,” katanya dam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Khas Pembubaran Harapan di sini hari ini.

Mengenai kebimbangan sesetengah pihak yang PPBM akan mengambil alih tampuk pemerintahan daripada Warisan, Lajim berkata, isu itu tidak timbul kerana Pengerusi PPBM, Dr Mahathir Mohamad sudah memberi jaminan parti itu melebarkan sayap ke Sabah untuk memperkukuhkan kerajaan negeri.

“Kami tiada niat mengambil alih atau menuntut kerajaan menerima kami. Kami akan sentiasa menyokong kerajaan dan dasarnya yang kami fikir baik untuk rakyat.

“Bagaimanapun, kami juga akan menyuarakan bantahan kami, jika kami fikir sesuatu dasar tidak memanfaatkan rakyat supaya mereka boleh memperbaiki kesilapan.”

Bekas timbalan ketua menteri itu disebut-sebut sebagai calon untuk mengetuai PPBM Sabah, tetapi bekas ketua Umno Sabah, Hajiji Noor juga dikatakan akan dilantik ke jawatan itu.

Lajim menjelaskan beliau dan Hajiji serta beberapa bekas pemimpin Umno di negeri ini termasuk Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mempunyai hubungan persahabatan yang sangat baik meskipun berbeza ideologi politik

“Kami akan sokong sesiapa saja yang dipilih PPBM sebagai ketua Sabah kerana keputusan itu terpulang kepada parti itu.

“Sesiapa yang dipilih, kami akan sokong dan bekerjasama dengannya. Kami menyertai parti ini bukan demi jawatan dan kepentingan material, tetapi untuk perubahan.”

 

 

3 Comments