Teo DAP nafi rancang ubah kurikulum Sejarah, tarik balik berita atau saman
17:12 Dec 23, 2018  |  By SabahKini2
Teo DAP nafi rancang ubah kurikulum Sejarah, tarik balik berita atau saman

"Saya menyangkal berita itu sekeras-kerasnya dan memberi amaran agar pihak berkenaan menarik balik atau menggugurkan berita itu dengan serta merta."- Teo

PUTRAJAYA: Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching menafikan laporan yang tular dalam media sosial kononnya beliau merancang untuk mengubah mata pelajaran Sejarah di sekolah dengan menggunakan khidmat badan bukan kerajaan (NGO) masyarakat Cina.

[ARTIKEL BEKAITAN- Timbalan Menteri DAP sahkan 'Team DAP' ubah subjek sejarah sekolah rendah ]

Dalam kenyataan hari ini beliau menyifatkan laporan itu sebagai tidak berasas sama sekali dan satu tindakan yang amat tidak bertanggungjawab yang cuba mempermainkan sentimen perkauman.

“Saya menyangkal berita itu sekeras-kerasnya dan memberi amaran agar pihak berkenaan menarik balik atau menggugurkan berita itu dengan serta merta.

“Jika tidak, saya tidak teragak-agak untuk mempertimbangkan tindakan undang-undang kerana laporan sedemikian cuba memburukkan diri saya dan Kementerian Pendidikan,” katanya.

Laporan mengenai Teo merancang mengubah mata pelajaran sekolah rendah dan menengah menggunakan NGO Cina agar haluan sejarah memasukkan juga DAP, tular dalam media sosial dan dipetik beberapa portal.

Untuk rekod, Teo berkata, semakan semula bagi Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) telah bermula pada 2017 lagi dan Jawatankuasa Panel Pakar Rujuk Kurikulum Sejarah dan Buku Teks juga dibentuk sebelum beliau dilantik sebagai timbalan menteri pendidikan.

Katanya, KSSR (Semakan 2017) Buku Teks Sejarah bagi tahun 4 pula telah selesai pada 2017.

“Justeru, adalah mustahil bagi saya untuk campur tangan dalam penggubalan dan semakan semula kurikulum Sejarah, apatah lagi melantik mana-mana ‘Team DAP’ atau NGO Cina untuk memasukkan input berkaitan dengan sejarah DAP,” katanya.

Sehubungan itu, Teo berkata, sebarang mesyuarat yang diadakan antara mana-mana NGO dan jawatankuasa itu hanya sekadar memberi cadangan terhadap kurikulum Sejarah bagi KSSR (Semakan) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM).

Beliau yakin dan percaya dengan kebijaksanaan dan kewibawaan jawatankuasa terbabit dan anggota panelnya yang profesional dalam membuat keputusan yang sewajarnya berkenaan penggunaan dan penambahbaikan kurikulum Sejarah.

“Oleh itu, sementara saya menghormati kebebasan bersuara yang didukung oleh kerajaan baru, saya menasihatkan orang ramai tidak menular dan menyebarkan kenyataan atau laporan yang tidak berasas dan berunsur fitnah,” kata Teo.- FMT

 
 
3 Comments