Parti politik setuju umur mengundi 18 tahun, pendaftaran automatik
10:11 Nov 01, 2018  |  By SabahKini2
Parti politik setuju umur mengundi 18 tahun, pendaftaran automatik

Azhar berkata kesemua parti politik yang hadir turut bersetuju terhadap cadangan pendaftaran automatik, namun mereka meminta SPR mengkaji proses dan kesannya terhadap pengundi.

PUTRAJAYA: Sebanyak 32 parti politik berdaftar di negara ini bersetuju dengan cadangan menurunkan umur layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun.

Beliau berkata kesemua parti politik tersebut adalah sebahagian daripada keseluruhan 51 parti politik berdaftar yang menghantar wakil mereka dalam mesyuarat dengan SPR mengenai urusan pendaftaran pemilih yang julung kali diadakan hari ini.

"Tiada bantahan (daripada parti politik) terhadap  cadangan tersebut," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat itu di ibu pejabat suruhanjaya itu, di sini.

Pada 19 Sept lepas, Kabinet  bersetuju untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan umur kelayakan mengundi kepada 18 tahun dan usul tersebut dijangka dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat  November ini.

Azhar berkata kesemua parti politik yang hadir turut bersetuju terhadap cadangan pendaftaran automatik, namun mereka meminta SPR mengkaji proses dan kesannya terhadap pengundi.

"Ini kerana, pendaftaran automatik akan ikut alamat kad pengenalan jadi pengundi itu tidak boleh lagi balik Kelantan atau balik Klang untuk mengundi. Itu saya rasa memerlukan pemahaman polisi tetapi dari segi dasarnya cadangan ini mendapat sokongan," katanya.

Ditanya mengenai tempoh kedua-dua cadangan tersebut boleh dilaksanakan, Azhar berkata SPR memerlukan sedikit masa memandangkan ia melibatkan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan.

Mengenai gesaan supaya SPR melaksanakan persempadanan semula pilihan raya sekali lagi susulan bantahan terhadap proses tersebut yang dibuat tahun lepas, beliau berkata ia hanya boleh dilaksanakan sekali dalam tempoh lapan tahun seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, katanya SPR akan membuat analisis terhadap proses persempadanan semula tersebut bagi melihat sama ada ia dilaksanakan secara adil dan mengikut undang-undang.

"Kemudian jika didapati ia tidak adil atau tidak mengikut perlembagaan, saya ingin membuat cadangan tentang bagaimana ia sepatutnya dilakukan," katanya, sambil menambah, sebuah jawatankuasa perlu ditubuhkan bagi mendapatkan pandangan terutamanya ahli akademik dan ahli statistik.

Menurutnya, wakil parti politik yang terlibat turut meminta SPR mengecualikan bayaran bantahan terhadap Rang Daftar Pemilih yang ketika ini dikenakan pada kadar RM10 bagi setiap bantahan dan RM100 jika bantahan ditolak.

"Kadar bayaran itu perlu pertimbangan mendalam kerana kita perlu mencapai keseimbangan antara bantahan yang benar dan tidak benar," katanya.

Azhar berkata isu lain yang turut dibincangkan ialah usaha pembersihan daftar pemilih, cadangan pelantikan Penolong Pendaftar Pemilih daripada wakil parti politik diwujudkan semula, cadangan pendaftaran pemilih secara dalam talian, pendaftaran pemilih yang ramai di satu alamat, pengundi hantu dan pengundi berumur 100 tahun ke atas. - BERNAMA

37 Comments