Pengerusi sementara GBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata, GBS akan diwakili semua parti pembangkang negeri iaitu UMNO, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan bebas.

Katanya, tujuan penubuhannya adalah bagi memperjuangkan hak dan nadi rakyat Sabah yang menuntut perpaduan serta demi kekuatan politik pembangkang negeri.

“Ketua-ketua komponen parti dilantik sebagai Timbalan Pengerusi bersama iaitu Timbalan Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili; Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Hajiji Mohd. Noor; Presiden Star, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan dan Presiden PBRS, Tan Sri Joseph Kurup.

“Sementara itu, Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman turut dilantik Timbalan Pengerusi bersama manakala ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Mohd. Salleh Said Keruak dilantik sebagai Naib Pengerusi GBS,” katanya.

Menurut Pairin, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Masidi Manjun pula memegang jawatan sebagai Setiausaha Agung GBS dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai dilantik sebagai ketua Penerangan.

Dalam pada itu, Pairin berkata, GBS juga bersedia untuk mengambil alih semula kerajaan negeri daripada tampuk pemerintahan kerajaan sedia ada yang sehingga hari ini belum disahkan statusnya.

“GBS juga akan memastikan Malaysia dan Sabah kekal harmoni dan bersatu di samping meningkatkan pembangunan sosio ekonomi negeri dan mewujudkan sebuah masyarakat yang adil dan saksama,” katanya. 

 

KENYATAAN MEDIA PENUH

PENGERUSI INTERIM GABUNGAN BERSATU SABAH
TAN SRI JOSEPH PAIRIN KITINGAN
LE MERIDIEN HOTEL, KOTA KINABALU
24 OKTOBER 2018

HARI ini, saya mengumumkan penubuhan Gabungan Bersatu Sabah (GBS) dengan rasminya, dan akan dianggotai oleh empat parti politik, iaitu Parti Bersatu Sabah, UMNO Sabah, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR Sabah) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Penubuhan GBS tercetus berikutan keputusan Pilihanraya Umun ke-14 dan insiden-insiden susulan. Menyedari nadi rakyat yang dahagakan perpaduan dan kekuatan politik di kalangan parti-parti politik di Sabah, kami telah berbincang dan bersetuju untuk menubuhkan GBS untuk menggantikan rejim politik lama.

Dari segi strukturnya, keempat-empat parti politik dalam GBS telah bersetuju untuk melantik saya sebagai Pengerusi Interim, manakala presiden atau ketua-ketua komponen parti akan dilantik sebagai Timbalan Pengerusi bersama iaitu Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Dr Maximus Johnity Ongkili (Timbalan Presiden yang menjalankan tugas-tugas Presiden PBS), Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Mohd Noor (Pengerusi UMNO Sabah), Yang Berhormat Datuk Dr Jeffrey Kitingan (Presiden STAR Sabah) dan Yang Berbahagia Tan Sri Joseph Kurup (Presiden PBRS).

Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Masidi Manjun akan memegang jawatan Setiausaha Agung; manakala Yang Berbahagia Datuk Seri Panglima Salleh Said Keruak sebagai Bendahari dan Yang Berhormat Datuk Joniston Bangkuai sebagai Ketua Penerangan. Semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undang Negeri (ADUN) adalah secara automatik menjadi Ahli Jawatankuasa GBS.

GBS bersedia untuk mengambil alih dari tampuk kerajaan sedia ada yang sehingga ke hari ini belum disahkan statusnya, dan GBS akan memastikan Malaysia dan Sabah kekal harmoni dan bersatu, disamping meningkatkan pembangunan sosio-ekonomi negeri dan mewujudkan sebuah masyarakat yang adil dan saksama.

Selepas lima bulan ‘berkuasa’, Kerajaan Negeri pimpinan Parti Warisan bukan sahaja gagal menjalankan kerja seperti yang diamanatkan oleh rakyat, tetapi juga memperlihatkan kelemahan mereka. Antaranya ialah memperjuangkan hak-hak Sabah dalam Persekutuan Malaysia seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutan dan Perjanjian Malaysia 1963; membantu pemohon yang tidak layak mendapatkan dokumen pengenalan diri; Empangan Kaiduan; Projek Tanjung Aru Eco-Development (TAED); dan lain-lain, seperti yang disenaraikan di dalam siaran akhbar.

GBS akan berkerja keras untuk memperbaiki keadaan kucar-kacir ini apabila kami mengambil alih tampuk pemerintahan kelak. Kami juga bersedia untuk menghadapi mereka dan memenangi pilihanraya umum pada bila masa.

GBS juga akan memberikan kerjasama penuh kepada Kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan demi kesejahteraan MALAYSIA BAHARU dan SABAH.

Perkara-perkara khusus, penting dan serta merta yang akan diberi keutamaan oleh GBS adalah sepertimana dalam edaran media yang dikeluarkan.

Kami menjemput dan merayu semua rakyat tulin negara Malaysia di Negeri Sabah untuk mendokong dan menyertai perjuangan murni ini demi menyelamatkan Sabah dan memperjuangkan kemajuan, keselamatan, integriti wilayah serta kemakmuran Negri Sabah yang tercinta.

Sekian, terima kasih.

GABUNGAN BERSATU SABAH
24 OKTOBER 2018