IMM13: Shafie 'kambing hitamkan' Jabatan Imigresen, tak mungkin dia tak tahu kata Jeffrey
16:10 Oct 14, 2018  |  By SabahKini2
IMM13: Shafie 'kambing hitamkan' Jabatan Imigresen, tak mungkin dia tak tahu kata Jeffrey

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen dan Pengarah Sabah perlu letak jawatan jika mereka tak beritahu begitu juga Datuk Azis Jamman Timbalan Menteri KDN yang mengawal Imigresen. Mana mungkin Shafie tak tahu!

PETALING JAYA: Datuk Jeffrey Kitingan berkata, tidak mungkin Datuk Seri Shafie Apdal tidak “tahu” mengenai pengeluaran semula dokumen IMM13 kepada rakyat Filipina.

Ahli Parlimen Keningau itu berkata, Shafie yang mengetuai Majlis Keselamatan Negeri sepatutnya dimaklumkan pengeluaran semula dokumen IMM13.

Ini kerana katanya, Jabatan Imigresen tahu tanggungjawab dan prosedur operasi standard mereka kerana kebiasaannya tindakan penting membabitkan pendatang asing tanpa izin tidak akan dilakukan tanpa berbincang dengan kerajaan negeri terlebih dahulu.

“Nampaknya Shafie menjadikan Jabatan Imigresen persekutuan kambing hitam kerana beliau dengan mudah menyalahkan mereka.

“Adakah Jabatan Imigresen di bawah kerajaan persekutuan tidak mengiktiraf kepentingan peranannya?” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kitingan berkata, matlamat asal IMM13 yang dikeluarkan antara 1972 hingga 1984 ialah memberi perlindungan kepada pelarian politik daripada perang di selatan Filipina, tetapi pengeluaran dokumen itu dihentikan pada 2013 kerana penyalahgunaan.

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) itu berkata, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Mustafar Ali dan Pengarah Imigresen Sabah, Datuk Musa Sulaiman perlu meletak jawatan, jika benar Shafie tidak tahu mengenai tindakan jabatan itu mengeluarkan semula IMM13.

“Mereka tidak sesuai memegang jawatan itu kerana tindakan mereka menyebabkan ketidakpercayaan kepada kerajaan persekutuan.

“Kedua, kenapa Timbalan Menteri Dalam Negeri yang juga Ketua Pemuda Warisan, Datuk Azis Jamman tidak tahu mengenai tindakan ini, sedangkan Jabatan Imigresen di bawah kementeriannya. Jika beliau turut mendakwa tidak tahu, maka beliau juga patut meletak jawatan.”

Portal FMT melaporkan telah cuba mendapatkan komen Azis dan Mustafar, tetapi gagal.

Kitingan turut mempersoalkan kenapa IMM13 dikeluarkan semula secara tiba-tiba, sedangkan perang di selatan Filipina sudah lama berakhir dan pengeluaran dokumen itu tidak relevan lagi.

Katanya, kerajaan sepatutnya meminta Kedutaan Filipina mengeluarkan dokumen kepada rakyatnya untuk berada di negara ini, bukannya Jabatan Imigresen Malaysia mengeluarkan IMM13 kepada mereka.

“Sudah tiba masanya pihak berkuasa berkaitan menjelaskan perkara yang membabitkan keselamatan rakyat.”

Bagaimana Shafie tak tahu? Setiap jelajahnya pun dibawa kaunter JPN. Jeffery persoalkan mengapa nak bawa JPN?
Jadi apa nak hairan dengan Jabatan Imigresen?

Jumaat lalu, Musa dilaporkan berkata, Jabatan Imigresen Sabah menghentikan penerimaan permohonan pendaftaran anak untuk mendapatkan dokumen IMM13 daripada ibu bapa pemegang dokumen IMM13.

Katanya, arahan itu berkuat kuasa serta-merta di seluruh Sabah dan Labuan. - FMT

[ARTIKEL BERKAITAN: (VIDEO) PTI Serbu Dang Bandang demi IMM13 yang dihidupkan semula oleh Warisan ]

[ARTIKEL BERKAITAN:  Selepas dikecam permohonan IMM13 dihentikan serta-merta ]

[ARTIKEL BERKAITAN: IMM13: Shafie terkejut Azis Jamman Timbalan Menteri KDN dan imigresen tidak beritahunya ]

 

8 Comments