Royalti 20 peratus boleh 'bunuh' Petronas dan bankrapkan negara - PM
20:09 Sep 17, 2018  |  By SabahKini2
Royalti 20 peratus boleh  'bunuh' Petronas dan bankrapkan negara - PM

Bukan sahaja 20 peratus begitu besar tetapi pada masa sama kita rasa ada keperluan untuk lihat semula lima peratus (royalti), ia sangat besar kata Tun Dr Mahathir PM. Kita perlu belajar untuk hidup bersama dan bersikap adil

KOTA KINABALU: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Kerajaan Persekutuan melihat keperluan untuk menaikkan royalti minyak daripada lima kepada 20 peratus untuk Sabah dan Sarawak, namun pada masa sama tidak mahu ‘membunuh’ PETRONAS.

Perdana Menteri berkata, jika royalti ditambah, kos operasi PETRONAS akan meningkat dan syarikat minyak negara itu akan kehilangan banyak hasil untuk melaksanakan pelbagai perkara.

“PETRONAS adalah sebuah syarikat yang unik di dunia kerana ia satu-satunya syarikat minyak nasional melaksanakan eksplorasi, pembangunan, pengeluaran dan petrokimia. Banyak negara meminta PETRONAS melakukan kerja di negara mereka.

“Oleh itu, (jika) kita mengurangkan (hasil) PETRONAS untuk mengutip royalti, maka kita kehilangan banyak perkara.

“Kita perlu mengekalkan pengukuhan PETRONAS tetapi pada masa sama kita rasa ada keperluan untuk lihat semula lima peratus (royalti), ia sangat besar,” katanya kepada media selepas sarapan bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan anggota Kabinet Sabah, di sini, pagi tadi.

Dr Mahathir berkata, dengan royalti lima peratus ketika ini, Kerajaan Persekutuan tetap memberi pulangan dalam bentuk wang kepada negeri-negeri berkenaan, malah banyak negeri berhutang kepada Kerajaan Persekutuan.

“Ini pinjaman tak berbayar (NPL), bermakna kita boleh bankrap jika (negeri) tidak bayar, tetapi ada negeri yang ada duit, bahkan menawarkan pinjaman wang kepada Kerajaan Persekutuan.

“Jadi saya fikir kita perlu belajar untuk hidup bersama dan bersikap adil antara satu sama lain,” katanya.

Dr Mahathir berkata, beliau memahami masalah berkaitan pembangunan di Sabah dan memberi contoh kali pertama beliau datang ke negeri ini pada tahun 1965, tiada kemudahan jalan raya di luar Kota Kinabalu.

“Tetapi kini anda (Sabah) mempunyai jalan raya dan kita akan membina Lebuhraya Pan Borneo, namun itu akan agak perlahan kerana kita tidak mempunyai wang,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dilaporkan berkata Jawatankuasa Kabinet yang ditubuhkan untuk memperhalusi kaedah pembayaran tuntutan royalti minyak kepada negeri pengeluar diberi masa enam bulan untuk berbincang dan membuat keputusan.

Beliau dilaporkan berkata, tempoh itu diberi untuk menyediakan cadangan sebelum keputusan muktamad bagaimana peningkatan royalti minyak daripada lima ke 20 peratus itu, akan dijalankan.

Beliau juga berkata, Sabah berpotensi menjadi pengeluar petrokimia terbesar apabila lebih banyak pengeluaran minyak dan gas laut dalam bermula tidak lama lagi.

4 Comments